Wednesday, January 27, 2021

SUARA RAKYAT IAITU AHLI KWSP YANG TIDAK DILULUSKAN PENGELUARAN i-SINAR

 

Mohd Zaki bin Ab Latif

xxxxxxxxx

43000 Kajang

SELANGOR DARUL EHSAN                                                                                               masterzaki@gmail.com

 

Kepada :-

 

Tunku Alizakri Alias

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)

Pejabat CEO

Bangunan KWSP

5, Jalan Raja Laut,

50350 KUALA LUMPUR                                                                                                                      8 Januari 2021

 

 

Tuan CEO KWSP,

 

SUARA RAKYAT IAITU AHLI KWSP YANG TIDAK DILULUSKAN PENGELUARAN i-SINAR

 

Dengan hormat perkara di atas dirujuk.

 

2.            Untuk makluman tuan, saya bernama MOHD ZAKI BIN AB LATIF no. ahli KWSP : xxxxxxx merupakan salah seorang antara jutaan ahli KWSP yang tidak diluluskan pengeluaran wang KWSP menerusi i-Sinar.

 

3.            Oleh yang demikian, saya bersama rakan-rakan seperti dalam JADUAL 1 - SENARAI NAMA AHLI KWSP YANG TELAH MEMOHON i-SINAR TAPI DITOLAK OLEH KWSP yang juga gagal mendapat kebenaran pengeluaran i-Sinar, di sini ingin menyampaikan hasrat suara kami rakyat Malaysia yang telah dinafikan hak untuk mengeluarkan wang kami daripada KWSP.

 

4.            Untuk makluman tuan, saya merupakan seorang ahli KWSP yang telah diluluskan pengeluaran wang KWSP menerusi i-Lestari tahun lepas. Tetapi ditolak permohonan di bawah i-Sinar dalam keputusan online KWSP pada 4 Januari 2021. Oleh yang demikian saya ingin menyuarakan masalah ini kepada pihak tuan untuk penjelasan lanjut.

 

SEJARAH i-SINAR

 

5.            Umum mengetahui bahawa idea permohonan pengeluaran wang KWSP ini adalah daripada mantan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Pekan iaitu YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak yang mana beliau telah berusaha membawa hal ini ke Parlimen dan akhirnya dipersetujui oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd Yassin dan disokong sepenuhnya oleh Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

6.            Apa yang diluluskan dalam Parlimen tempoh hari adalah pengeluaran i-Sinar KWSP dibenarkan sehingga RM10,000 untuk pengeluaran bulan pertama sehingga bulan ke-6 bagi mereka yang mempunyai wang melebihi RM100,000 dalam akaun KWSP mereka. Hal ini juga lanjutan daripada pelbagai perbincangan semua pihak khususnya antara ahli Parlimen Bagan Datuk YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi yang juga merupakan Presiden UMNO. Saya juga difahamkan had baki minima dalam akaun KWSP adalah RM100. Bermaksud sekiranya ahli mempunyai RM700 dalam akaun KWSP, beliau masih boleh mengeluarkan RM600 daripada akaun KWSP beliau sehingga tinggal baki RM100 dalam akaun tersebut.

 

7.            Saya melihat hal ini sebagai satu perjuangan oleh Parti UMNO dalam memperjuangkan suara rakyat yang dihimpit kesulitan ekonomi impak daripada COVID-19. Ia juga merupakan sahutan perjuangan yang sama yang dilaungkan oleh Parti BERSATU apabila Presiden BERSATU menyokong pengeluaran i-Sinar ini demi membantu rakyat jelata. Sejajar dengan sebuah hadis;

Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim)

 

8.            Namun sayangnya, hasrat kerajaan iaitu dari Parti BERSATU dan Parti UMNO ini tidak disampaikan kepada rakyat dengan sebaiknya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya oleh Pengurusan Kanan KWSP yang diterajui oleh Tuan CEO, Tunku Alizakri Alias.

 

HALANGAN YANG DICIPTA OLEH KWSP

BAGI MENYUSAHKAN AHLI MEMBUAT PENGELUARAN i-SINAR

 

9.            Pada awal pelancaran permohonan i-Sinar sahaja, pihak KWSP telah membuat halangan pertama dengan mewujudkan 2 kumpulan permohonan. Iaitu permohonan Kumpulan 1 dibuka pada hujung Disember 2020 dan permohonan Kumpulan 2 dibuka pada 11 Januari 2021. Ini adalah halangan pertama yang dicipta oleh Pengurusan Kanan KWSP bagi menyusahkan ramai Malaysia dan tidak menepati hasrat kerajaan serta perjuangan Parti UMNO dan Parti BERSATU.

 

10.          Padahal YB Parlimen Pekan yang juga Mantan Perdana Menteri YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak acap kali meluahkan hasrat dalam pelbagai media sosial dan media cetak bahawa tujuan pengeluaran KWSP ini adalah bagi membantu rakyat Malaysia yang juga ahli KWSP yang sedang dihimpit tekanan ekonomi pada masa kini.

 

11.          Sebagai contoh, saya yang telah berhenti kerja pada Ogos 2019. Sehingga kini masih belum mendapat apa-apa pekerjaan walaupun telah banyak kali menghadiri sesi temuduga. Hal ini dapat dilihat dalam penyata KWSP saya yang menunjukkan tiada caruman ahli KWSP semenjak Ogos 2019. Ini bermaksud saya tidak mempunyai mana-mana majikan yang menggaji saya. Itu menunjukkan saya tiada pendapatan bulanan yang tetap dan telah hilang pendapatan semenjak Ogos 2019. Adakah ini menyebabkan saya tidak layak mengeluarkan wang KWSP di bawah permohonan i-Sinar? Tetapi saya telah dibenarkan membuat pengeluaran di bawah i-Lestari. Apakah justifikasi KWSP berkaitan hal ini?

 

12.          Contoh kedua, seorang rakan saya iaitu seorang suri rumah, tidak bekerja lebih kurang 10 tahun lamanya. Membuat permohonan i-Sinar dan permohonan beliau diluluskan. Apakah perbezaan beliau yang telah tidak mencarum KWSP semenjak 10 tahun lepas kerana menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya juga tidak mencarum semenjak Ogos 2019 lepas kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap? Tetapi permohonan i-Sinar yang saya mohon tidak diluluskan? Apakah natijah yang ingin disampaikan oleh KWSP ini?

 

13.          Jika KWSP mengatakan hanya suri rumah sahaja yang layak memohon i-Sinar, maka bagaimana dengan rakan saya. Seorang wanita yang telah tamat kerja sejak Oktober 2019 akibat syarikat tidak mampu membayar gaji sepenuhnya malah gaji yang diterima dikurangkan lagi sebanyak 30% dari jumlah pendapatan. Sehingga hari ini rakan saya tidak mempunya sebarang pendapatan selain daripada pendapatan terakhirnya pada bulan Oktober 2019. Bahkan beliau kini merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Apakah justifikasi KWSP bagi menolak permohonan i-Sinar beliau?

 

14.          Seharusnya Tuan CEO KWSP bersama Pengurusan Kanan KWSP yang lain memudah cara permohonan i-Sinar ini bagi membantu seluruh ahli KWSP yang merupakan rakyat Malaysia yang terhimpit dengan kesempitan ekonomi zaman sekarang. Bukannya menambah halangan demi halangan bagi menyekat pengeluaran ahli KWSP. Siapa yang mencipta kumpulan 1 dan kumpulan 2 dalam pengeluaran i-Sinar? Bahkan parti UMNO sejak dari awal cadangan lagi telah menyarankan agar permohonan pengeluaran wang KWSP tidak disekat dengan pelbagai syarat yang mengarut.

 

 15.          KWSP telah menetapkan antara syarat-syarat pengeluaran i-Sinar adalah pengurangan gaji bulanan oleh sebab tiada kerja lebih masa atau pengurangan gaji pokok akibat Covid-19. Maka mereka dalam golongan ini boleh menunjukkan bukti penyata gaji yang menunjukkan perbezaan gaji semasa dengan gaji sebelum pengurangan tersebut. BAGAIMANA PULA DENGAN KAMI YANG TELAH TIADA GAJI TETAP SEBAB TIADA PEKERJAAN SELAMA BERTAHUN-TAHUN INI? Apakah kami didiskriminasikan atas sebab tiada pengurangan gaji? Hanya kerana kami tiada gaji langsung, tiada pendapatan tetap langsung, maka kami tidak layak memohon pengeluaran i-Sinar? Tetapi suri rumah yang telah berhenti kerja bertahun-tahun lamanya, layak pula mendapat i-Sinar? Apakah sebabnya?

 

16.          Saya dan beberapa orang dalam senarai surat ini tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) baik BPN 1.0, BPN 2.0 waima BPN Kosong-Kosong pun. Kami bersabar dan terus tabah mengharungi hidup tanpa bantuan kerajaan. Sehingga kerajaan memberi Bonus Pejawat Awam 2021 pun kami tidak layak terima kerana antara kami bukanlah golongan pejawat awam. Kami terus bersabar dan tabah. Tetapi apabila kerajaan meluluskan pengeluaran i-Sinar KWSP, kami berasa sedikit lega kerana kami sebagai ahli KWSP mempunyai simpanan dalam KWSP kerana pernah mencarum suatu waktu dahulu. Ketika inilah wang tersebut amat diperlukan di waktu perit sebegini. Kemudiannya, Pengurusan Kanan KWSP menetapkan pelbagai syarat dan memecahkan kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan 1 dan Kumpulan 2. Padahal wang kami tetap sama dalam akaun KWSP. Wang yang kami simpan tidak pula dicop sebagai Wang Kumpulan 1 dan Wang Kumpulan 2. Tetap sama ada wajah Agong Pertama yang mempunyai nilai sah di sisi undang-undang dan Bank Negara Malaysia. Tetapi untuk pengeluaran i-Sinar pelbagai syarat pula dikenakan terhadap kami.

 

17.          Wang dalam KWSP adalah hak kami. Kami berhak terhadap wang kami. Kenapakah kami disekat dengan pelbagai syarat? Sudah lah kami tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional. Tidak layak mendapat Bonus Pejawat Awam. Tiada bonus tahunan majikan swasta. Bahkan untuk pengeluaran i-Sinar KWSP wang kami sendiri pula disekat. Adakah pihak KWSP melihat tekanan yang kami hadapi ini? Fahamkah tuan sebagai CEO KWSP? Dapatkah tuan meletakkan diri tuan dalam situasi yang kami hadapi sekarang ini?

 

LIHAT TAKWIM SEKOLAH, LIHAT BPN, LIHAT BONUS PEJAWAT AWAM

DAN LIHAT i-SINAR KWSP

 

18.          Adakah tuan CEO KWSP melihat takwim sekolah 2021? Adakah tuan tahu bahawa permulaan sekolah akan bermula pada 20 Januari 2021. Bagi yang mendapat BPN maka mereka boleh bersyukur dengan kurniaan wang kerajaan tersebut. Begitu juga dengan Bonus Pejawat Awam yang akan dibayar mulai 25 Januari 2021. Masih mereka boleh bersyukur dengan kurniaan kerajaan itu. Tetapi bagi kami yang ditolak permohonan i-Sinar pada 4 Januari 2021 yang lepas, apakah nasib kami? Menunggu permohonan dan rayuan baru pada 11 Januari 2021? Kemudian jika menerima keputusan gagal yang sama? Apakah nasib kami? Sedangkan wang yang ingin kami mohon keluarkan itu adalah wang caruman KWSP kami. Apakah semua pihak memahami nasib kami ini? Tahukah anda tentang tekanan hidup yang kami hadapi sekarang ini?

 

19.          Saya gambarkan satu situasi sebegini. Seorang ayah yang mempunyai 3 orang anak. Ayah ini sudah tidak mempunyai pendapatan tetap sejak beberapa tahun lepas. Tiada caruman KWSP sejak beberapa tahun lepas kerana hanya bekerja sendiri. Namun beliau pernah bekerja suatu ketika dulu dan pernah mencarum dengan KWSP dahulu. Si isteri pula seorang suri rumah tangga yang yang sememangnya tidak mempunyai caruman KWSP. Mereka suami isteri juga telah tertinggal dari senarai Bantuan Prihatin Nasional kosong-kosong. Mereka juga bukan pejawat awam dan tidak layak menerima Bonus Pejawat Awam. Tetapi si suami ini pernah bekerja dan mempunyai caruman KWSP di masa lampau dengan majikannya. Maka si suami memohon i-Sinar. Tetapi keputusan diperolehi menyatakan beliau tidak layak dan perlu menunggu 11 Januari 2021 untuk membuat rayuan bersama dokumen sokongan. Tetapi si suami tiada payslip atau apa jua dokumen sokongan yang akan dibuktikan kepada KWSP 11 Januari nanti. Akhirnya beliau tidak layak membuat pengeluaran i-Sinar. Anak-anak pula akan mula bersekolah pada 20 Januari 2021. Maka apakah nasib mereka sekeluarga ini? Atas sebab sekatan hebat yang dibuat oleh tuan CEO KWSP dan Pengurusan Kanan KWSP? Adakah kamu semua faham tentang situasi ini?

 

RAYUAN KEPADA PEMIMPIN POLITIK DAN KEPADA PEMIMPIN KWSP


20.          Kepada YAB Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd Yassin dan Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz lihatlah kemusnahan yang dilakukan oleh Pengurusan Kanan KWSP terhadap rakyat Malaysia yang hidup susah kini. Hasrat kerajaan untuk membantu rakyat seperti kami tidak kesampaian akibat kuasa yang diberikan kepada pihak yang tidak perihatin kepada rakyat.

 

21.          Kepada mantan Perdana Menteri YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak dan ahli Parlimen Bagan Datuk YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi yang juga Presiden UMNO , saya mengucapkan terima kasih di atas perjuangan parti UMNO bagi memperjuangkan nasib rakyat. Namun perjuangan anda telah digagalkan oleh sekelompok golongan yang berkuasa dalam KWSP dengan menetapkan pelbagai syarat terhadap pengeluaran i-Sinar. Moga tuan-tuan pejuang nasib rakyat yang dibantu bersama panglima perang iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk terus perjuangkan hak ahli KWSP. Supaya dapat ahli KWSP memohon pengeluaran wang KWSP tanpa apa-apa syarat.

 

22.          Akhir kata, saya memohon kepada YAB Perdana Menteri supaya membubarkan Pengurusan Kanan KWSP dan menukarkan dengan orang lain yang lebih perihatin dengan nasib rakyat seperti kami ini. Bak kata bidalan, “Belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang pandai”.

 

23.          Kepada CEO KWSP dan Pengurusan Kanan KWSP, hayatilah bidalan bahasa ini, “Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa” dan “Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati”. Fahamilah maksud kata-kata bidalan itu hingga akhir hayat tuan.

 

24.          Di akhiri surat ini, saya memohon semua pihak melihat :-

                Daripada siapa surat ini ditulis = MELAYU

                Kepada siapa surat ini ditulis = MELAYU

                Salinan kepada siapa surat ini ditulis = MELAYU

                Siapa yang berkuasa dalam isu ini = MELAYU

                Siapa yang rugi akibat isu ini = ??? ANDA PASTI TAHU JAWAPANNYA.


25.          Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah sudi membaca surat saya ini. Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan saya di alamat di atas atau emel saya masterzaki@gmail.com.

 

 Sekian, terima kasih.

 

 Yang benar,

 MOHD ZAKI BIN AB LATIF



 







 

No comments:

Post a Comment