Wednesday, January 27, 2021

KENYATAAN MOHD ZAKI BIN AB LATIF BERKAITAN KES KWSP

 

KENYATAAN

MOHD ZAKI BIN AB LATIF

BERKAITAN KES KWSP

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,

Wassalatu Wassalamu ‘Ala Saidina Muhammadin Asrafi Mursalin,

Wa ‘Ala Alihi Wasahbihi Ajma’in.

 

Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

Kenyataan ini dibuat pada 28 Januari 2021 jam lebih kurang 10.00pagi.

1.                  Setelah melihat tiada emel jawapan secara rasmi daripada pihak KWSP kepada emel saya, maka saya meneruskan usaha menjelaskan isu berkaitan i-sinar KWSP ini kepada khalayak.

 

2.                  Umum mengetahui bahawa surat aduan dan persoalan saya kepada KWSP telah disiarkan pada 23 Januari 2021 di Ruangan Forum Rencana Surat Pembaca yang telah disiarkan dalam web Utusan Malaysia dan boleh dibaca dipautan : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/01/kenapa-wang-caruman-kwsp-kami-disekat/?fbclid=IwAR0wA95QAXedNCPcCDqjLM-xrdUvyBg0QaMncQcRqJwvcoqrfKr8TIcNSac

 

3.                  Ucapan terima kasih diucapkan kepada Wartawan Utusan Malaysia iaitu Saudara Nizam Yatim yang telah sudi memaparkan sebahagian aduan / surat saya kepada khalayak pembaca. Namun begitu, suka saya untuk berkongsi surat sepenuhnya yang telah saya karang dan tujukan kepada CEO KWSP iaitu Tunku Alizakri Alias serta salinannya telah dihantar kepada pemimpin-pemimpin Malaysia seperti berikut :-

 

(i)                 YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin

Perdana Menteri Malaysia

 

(ii)               YB Senator Dato' Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Menteri Kewangan,

 

(iii)             YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak

Mantan Perdana Menteri @ Mantan Presiden UMNO

 

(iv)             YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi

Presiden UMNO

 

(v)               Ybhg. Dato' Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato' Dusuki

 Ketua Pemuda UMNO

 

4.                  Salinan surat tersebut boleh dibaca di link tersebut : https://masterzaki.blogspot.com/

5.                  “Aku fikirkan mendung berterusan, tapi kini mentari muncul lagi”. Bak lirik lagu kumpulan Slam, akhirnya pada pagi hari Rabu 27 Januari 2021 jam lebih kurang 10.00pagi saya telah menerima panggilan telefon daripada seorang Pengurus KWSP Jalan Raja Laut.

 

6.                  Beliau menyatakan bahawa permohonan i-Sinar saya sedang dalam proses. Namun saya menjelaskan bahawa saya sepatutnya dimasukkan dalam kategori 1 kerana telah tidak bekerja dari 2019. Beliau menyatakan dalam rekod KWSP menunjukkan saya sebagai pejawat awam. Maka saya menjelaskan bahawa saya telah berhenti kerja dengan kerajaan mulai 2017. Telah lama. Kemudian saya pernah bekerja dengan pihak swasta pada tahun 2019 dan ada rekod caruman KWSP saya pada tahun 2019 tersebut. Jadi adalah tidak logik jika pihak KWSP menyatakan saya masih bekerja sebagai pejawat awam padahal rekod caruman KWSP tahun 2019 menunjukkan majikan saya adalah syarikat swasta. Namun Pengurus KWSP ini tidak dapat menjawab persoalan saya berkaitan ini. Hal ini bukan terjadi kepada saya seorang tetapi ramai lagi ahli KWSP yang mempunyai kisah yang sama seperti saya. Saya menjelaskan kepada Pengurus tersebut bahawa apa yang saya perjuangkan ini bukan mewakili diri saya seorang. Tetapi mewakili rakan-rakan lain dan ahli-ahli KWSP lain yang masih tidak berpuas hati dengan cara kelulusan i-Sinar KWSP.

 

7.                  Saya menyuruh Pengurus KWSP tersebut masuk ke Facebook dan join group perbincangan mengenai i-Sinar dalam page Facebook. Pasti beliau dapat melihat ramai rakyat jelata khususnya ahli KWSP yang mencarut dan memaki pengurusan KWSP. Maka saya menyarankan agar CEO KWSP membuat kenyataan media dengan segera bagi mengurangkan kemarahan rakyat jelata ini. Jika sistem KWSP yang canggih itu sendiri tidak boleh melihat saya sebagai bekas pejawat awam yang telah berhenti kerja dengan kerajaan dan kemudian makan gaji dengan sektor swasta, maka apa gunanya pegawai KWSP sebagai manusia yang seharusnya lebih bijak daripada mesin komputer tersebut. Ini merupakan kelemahan sistem KWSP. Kamu tidak dapat melihat pejawat awam yang telah berhenti kerja dan mencarum semula sebagai pekerja swasta. Kemudian kamu tolak permohonan i-Sinar yang saya mohon hanya kerana salah faham kamu sendiri. Sebagai seorang yang tiada pendapatan tetap saya dan rakan-rakan yang lain amat memerlukan wang daripada caruman KWSP kami sendiri untuk digunakan di waktu terdesak ketika ini.  

 

8.                  Setelah itu, Pengurus KWSP itu memaklumkan bahawa Wang Interim RM1,000 telah dimasukkan ke akaun simpanan saya mulai 26 Januari 2021. Saya katakan saya semak sebelum ini tiada duit masuk. Namun setelah tamat panggilan telefon tersebut saya menyemak akaun simpanan saya dan memang betul wang interim KWSP RM1,000 telah masuk ke akaun saya.

 

9.                  Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak KWSP yang bertindak pantas dengan membayar wang interim RM1,000 ini kepada ahli-ahli KWSP yang masih belum mendapat kelulusan i-Sinar. Namun tidak semua menerima wang interim RM1,000 ini. Sebagai contoh dalam senarai surat saya yang dipaparkan dalam https://masterzaki.blogspot.com/ hanya 3 orang daripada 6 orang tersebut yang menerima wang interim RM1,000. Namun 3 orang lagi belum menerima wang interim RM1,000 tersebut.

 

10.              Walau apapun yang dilakukan oleh pihak KWSP, saya masih belum berpuas hati kerana permohonan i-Sinar saya sepatutnya di bawah kategori 1. Namun tidak diluluskan oleh KWSP hanya kerana ketidakcerdikan pihak KWSP dalam melihat latar belakang pencarum tersebut. Telah berhenti sebagai pejawat awam dan bekerja di sektor swasta dan terdapat caruman pada tahun 2019. Namun masih dianggap sebagai pejawat awam. Kesalahan kamu, kesannya berat kepada kami sebagai ahli KWSP. Hal ini berlaku kepada ramai pemohon i-Sinar.

 

 

 

11.              Oleh yang demikian, saya memohon pihak KWSP menjawab surat saya telah dihantar kepada CEO KWSP dan sebahagiannya telah disiarkan dalam Utusan Melayu di link : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/01/kenapa-wang-caruman-kwsp-kami-disekat/?fbclid=IwAR0wA95QAXedNCPcCDqjLM-xrdUvyBg0QaMncQcRqJwvcoqrfKr8TIcNSac

 

12.              Seperti yang telah saya katakan kepada Pengurus KWSP yang menghubungi saya tadi, saya telah membuat surat aduan dan pertanyaan rasmi secara bertulis kepada KWSP, maka saya juga mengharap pihak KWSP menjawab secara bertulis kepada saya. Jika menghubungi saya dengan telefon, apa bukti yang dapat saya tunjukkan sebagai proses jawapan balas daripada pihak KWSP? Sehingga tarikh 28 Januari 2021 saya masih belum menerima apa-apa jawapan bertulis daripada pihak KWSP baik melalui emel atau surat rasmi.

 

13.              Diharapkan pembayaran interim RM1,000 yang telah dibuat kepada saya ini bukan lah penamat kepada perjuangan saya dan rakan-rakan yang memperjuangkan permohonan pengeluaran wang caruman KWSP yang menjadi hak kami. Kami akan terus berjuang sehingga hak kami berjaya dituntut.

 

14.              Akhir kata seperti yang saya nyatakan dalam surat kepada CEO KWSP, “Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa” dan “Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati”. Fahamilah maksud bidalan bahasa tersebut sedalam-dalamnya.

 

Sekian kenyataan daripada saya,

MOHD ZAKI BIN AB LATIF

masterzaki@gmail.com

28 Januari 2021.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment