Thursday, February 11, 2021

Akhirnya..."At last..." Perjuangan saya mencapai matlamat

 Akhirnya..."At last..." Perjuangan saya mencapai matlamat :-


1. Semua permohonan i Sinar lulus tanpa syarat

2. CEO KWSP ditukarkan.


Terima kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI     Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah

yang telah menerima surat saya dan membuat tindakan pantas demi kesejahteraan rakyat jelata.

Terima kasih juga kepada Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan yang telah mengambil tindakan sewajarnya. 

Terima kasih semua yang membantu perjuangan saya.

Alhamdulillah. Syukur.


http://masterzaki.blogspot.com/2021/01/suara-rakyat-iaitu-ahli-kwsp-yang-tidak.html
















Sunday, January 31, 2021

KELIRU DENGAN KWSP

Video Muzik mengisahkan permohonan i-Sinar KWSP. Secara santai. Berhibur sambil memahami isu semasa I-Sinar.

Sila share link youtube tersebut-

https://youtu.be/KFGQsjNS1JI

Kisah penuh di blog:

http://masterzaki.blogspot.com/ 

Saturday, January 30, 2021

Ini sebenarnya mewakili semua.

Ini sebenarnya mewakili semua. dalam penjelasan kwsp tu menunjukkan sistem kwsp bermasalah. meke tak dapat trace setiap individu itu bekas pejawat awam atau pekerja swasta. maksudnya mungkin anda adalah pekerja swasta. tetapi sistem kwsp menunjukkan anda adalah pejawat awam. maka meke keluarkan nama anda drpd permohonan i sinar. itu yang terjadi kepada saya. sbb saya adalah pekerja swasta. tetapi meke kata saya pejawat awam. harap maklum semua ye. sistem kwsp mmg tak betul. itu yang saya sampaikan.

sesiapa nak berhubung dengan saya boleh emel kepada:-

masterzaki@gmail.com


Friday, January 29, 2021

MEMBONGKAR KEBENARAN DALAM JAWAPAN BALAS KWSP BERTARIKH 29 JANUARI 2021 DI UTUSAN MALAYSIA

 

MEMBONGKAR KEBENARAN DALAM JAWAPAN BALAS KWSP

BERTARIKH 29 JANUARI 2021 DI UTUSAN MALAYSIA

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,

Wassalatu Wassalamu ‘Ala Saidina Muhammadin Asrafi Mursalin, Wa ‘Ala Alihi Wasahbihi Ajma’in.

Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

________________________________________________________________________________________

1.            Memetik hadis tersebut:-

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu , Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang Mukmin, maka Allâh melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allâh Azza wa Jalla memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat.”               

Hadits ini shahih. Diriwayatkan oleh: Muslim (no. 2699).

2.            Merujuk link :-

https://www.utusan.com.my/rencana/2021/01/kwsp-tambah-baik-kelulusan-i-sinar/

3.                   Saya Mohd Zaki bin Ab Latif mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Saudari Wartawan Aqilah Mior Kamarulbaid yang telah menyiarkan artikel ini pada 29 Januari 2021, jam 9:00 am.

 

4.                   Juga ucapan terima kasih kepada pihak KWSP yang memberi jawapan balas melalui media cetak TANPA MEMBERI JAWAPAN BALAS KEPADA EMEL SAYA DAN TANPA SURAT BERTULIS seperti yang dijanjikan dalam perbualan telefon antara Pengurus KWSP Jalan Raja Laut dengan saya pada hari Rabu 27.1.2021. Itu adalah janji pertama yang dicabuli dan tidak ditepati. Ini kerana, saya telah menghantar surat rasmi secara bertulis dengan Pos Laju kepada CEO KWSP dan salinan dihantar melalui emel kepada pihak KWSP. Namun jawapan yang diterima hanya melalui media cetak @ elektronik ini sahaja. Terima kasih.

MEMBONGKAR KESILAPAN PERTAMA KWSP :

ISU SURAT RASMI DAN TIADA JAWAPAN BALAS BERTULIS DARIPADA KWSP

 

5.                   Dilampirkan bukti pengeposan Pos Laju yang telah dihantar kepada CEO KWSP bertarikh 7.1.2021 dengan No. Konsainan : EHE016444449MY. Sesiapa pun boleh menyemak dalam sistem pos laju.

 

6.                   Tarikh temujanji saya dengan KWSP Teluk Intan, Perak pada 13.1.2021 dan pada waktu itu saya telah membawa surat rasmi kepada Pengurus KWSP Teluk Intan bertarikh 13.1.2021 dengan tajuk surat : KENAPAKAH PERMOHONAN i-SINAR SAYA TIDAK DILULUSKAN DI BAWAH KATEGORI 1? Surat rasmi itu tidak mahu diterima oleh pegawai KWSP Teluk Intan, Perak yang menguruskan temujanji saya pada hari tersebut.. Namun setelah didesak dengan nada suara yang tinggi, akhirnya beliau memanggil Pengurus KWSP Teluk Intan yang sedang duduk dalam bilik dan Pengurus tersebut telah cop terima surat rasmi ini dengan tarikh 12 Jan 2021. Padahal hari tersebut adalah 13 Jan 2021. Kemudian saya terpaksa mengisi borang aduan di KWSP tersebut dan semuanya saya lampirkan kepada Biro Pengaduan Awam melalui emel pada 13.1.2021. Ini kerana KWSP Teluk Intan tidak mahu menerima surat rasmi saya dan tidak mahu menjawab persoalan saya melalui surat bertulis. Sila rujuk bukti-bukti yang saya lampirkan bersama ini.

 

7.                   Sehingga kini 29.1.2021 KWSP masih tidak menjawab semua persoalan saya melalui surat bertulis atau pun emel saya masterzaki@gmail.com. Ini menunjukkan keegoan sebuah badan korporat yang memegang dana terbesar di Malaysia. Di manakah letaknya kredibiliti dan kepercayaan orang ramai sekiranya hal surat rasmi sebegini pun tidak mampu dijawab secara rasmi oleh pihak KWSP?

 

 

MEMBONGKAR KESILAPAN KEDUA (KE-2) KWSP :

ISU SITUASI UNIK SAYA SEBAGAI BEKAS PEJAWAT AWAM YANG KINI TIDAK BEKERJA

 

8.            Memetik artikel tersebut di perenggan kedua seperti berikut ,

“Untuk makluman, situasi dihadapi oleh Mohd. Zaki agak unik, iaitu dia ialah seorang bekas penjawat awam yang kini tidak bekerja. Disebabkan sistem dalaman KWSP yang mengenal pastinya sebagai penjawat awam, dia yang sepatutnya diberi kelulusan automatik i-Sinar di bawah Kategori 1, tidak diluluskan untuk Kategori 1 malah diminta untuk memohon bersama dokumen sokongan di bawah Kategori 2”

 

9.                   Suka saya menjelaskan di sini, sistem komputer tersebut adalah di tangan tuan/puan pegawai KWSP. Bukan di tangan saya. Kamu yang menguruskan semua maklumat dan data. Mustahil apabila kamu menaip no kad pengenalan / Mykad saya, kamu tidak dapat melihat caruman saya sebagai pekerja swasta pada tahun 2019. Jika pada tahun 2019 saya sudah bekerja dengan majikan swasta dan terdapat bukti caruman sebagai ahli KWSP, mana mungkin saya masih lagi menjadi Pejawat Awam? Logik kah saya mempunyai 2 majikan iaitu kerajaan dan swasta? Jadi apakah maksud KWSP, “sistem dalaman KWSP yang mengenal pastinya sebagai penjawat awam?” Jadi adakah ini jawapan balas untuk surat saya bertarikh bertarikh 13.1.2021 kepada Pengurus KWSP Teluk Intan dengan tajuk surat : KENAPAKAH PERMOHONAN i-SINAR SAYA TIDAK DILULUSKAN DI BAWAH KATEGORI 1? Betulkah? Atau hanya saya sahaja beranggapan begitu? Kerana saya tidak menerima jawapan bertulis mengenai hal ini.

 

10.               Isu ini bukanlah isu yang unik untuk saya seorang. Percayalah. Jutaan rakyat Malaysia yang juga pencarum KWSP yang lain juga menerima nasib yang sama seperti saya. Bezanya, mungkin mereka tidak tahu untuk membuat aduan bertulis seperti yang saya lakukan ini. Waima surat aduan bertulis yang telah saya buat pun tidak mahu diterima oleh KWSP dan masih tidak menerima jawapan bertulis. Jadi siapakah yang bersalah dalam hal ini? Adakah “Bapak yang bersalah dalam soal ini, bapak membesarkan Sazali dengan secara membabi buta saja” petikan dialog Anakku Sazali.

 

11.        Rujuk surat saya bertarikh 8.1.2021 kepada CEO KWSP dengan tajuk : SUARA RAKYAT IAITU AHLI KWSP YANG TIDAK DILULUSKAN PENGELUARAN i-SINAR.

Klik link :- http://masterzaki.blogspot.com/2021/01/suara-rakyat-iaitu-ahli-kwsp-yang-tidak.html

12.               Dalam surat tersebut terdapat 5 nama selain nama saya yang tidak diluluskan permohonan i-Sinar. Adakah pihak KWSP telah menyemak semua nama tersebut tidak mempunyai situasi sama seperti saya?  Kamu pasti? Maka suka saya menyatakan kes saya ini bukan unik untuk saya seorang. Kisah saya ini sama seperti yang dialami oleh jutaan pencarum KWSP lain yang tidak diluluskan permohonan i-Sinar ini.

 

MEMBONGKAR KESILAPAN KETIGA (KE-3) KWSP :

 

13.        Merujuk artikel https://www.utusan.com.my/rencana/2021/01/kwsp-tambah-baik-kelulusan-i-sinar/

pada ayat, “Dalam kes Mohd. Zaki, permohonan i-Sinar sudah pun diluluskan dan dia juga telah dihubungi oleh KWSP untuk memberi penerangan lanjut. Pembayaran i-Sinar terhadapnya akan dikreditkan tidak lama lagi”

14.               Suka saya menjelaskan merujuk semakan saya di laman web https://isinar.kwsp.gov.my/check-status status i-Sinar saya adalah, “PERMOHONAN SEDANG DIPROSES”. Semakan dibuat pada jam 8.21pm 29.1.2021. Dilampirkan gambar semakan tersebut sebagai bukti.

 

15.               Namun begitu, sekiranya benar permohonan i-Sinar saya telah diluluskan, saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan dan meluluskan permohonan i-Sinar ini.

16.               Walaupun begitu, percayalah, waima permohonan i-Sinar saya telah diluluskan dan diwar-warkan seluruh dunia melalui artikel yang disiarkan ini, ia bukan penamat kepada perjuangan saya bagi membela nasib pencarum KWSP yang lain. Mungkin terdapat jutaan pencarum KWSP yang masih belum diluluskan permohonan i-Sinar. Hak mereka perlu dilunaskan melalui kelulusan i-Sinar tanpa syarat. Mohon KWSP ambil perhatian tentang hal ini.

 

17.               Setelah saya bongkar 3 perkara di atas, saya serahkan kepada khalayak ramai bagi melihat kebenaran disebalik kenyataan balas KWSP bertarikh 29.1.2021 dalam artikel https://www.utusan.com.my/rencana/2021/01/kwsp-tambah-baik-kelulusan-i-sinar/

 

18.               Pepatah Inggeris ada berkata, “There are few reasons for telling the truth, but for lying the number is infinite.” Yang bermaksud, “Ada beberapa alasan untuk mengatakan kebenaran, namun berbohong jumlah alasannya tak terbatas”.

19.        Yang berhak telah dinafikan. Yang halal telah diharamkan. Yang patut lulus i-Sinar tidak diluluskan.

Wahai kakitangan KWSP, peganglah prinsip, “Berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati”.

 

Renungilah firman  Allah SWT  yang bermaksud: "Dan katakanlah: Yang benar (Haq)  telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap" (QS. Al-Isra': 81).

 

20.               KESEMUA MASALAH DENGAN KWSP INI AKAN SELESAI SEKIRANYA SEMUA PENCARUM KWSP DIBENARKAN MENGELUARKAN CARUMAN / WANG MEREKA SENDIRI TANPA SEKATAN DAN TANPA PELBAGAI SYARAT.

 

21.               Sebagai siaran ulangan saya mohon sesiapa yang mahu membaca KENYATAAN MOHD ZAKI BIN AB LATIF BERKAITAN KES KWSP pada semalam 27.1.2021 boleh merujuk link:-  http://masterzaki.blogspot.com/2021/01/kenyataan-mohd-zaki-bin-ab-latif.html


 

22.               Surat saya bertajuk, “SUARA RAKYAT IAITU AHLI KWSP YANG TIDAK DILULUSKAN PENGELUARAN i-SINAR” boleh merujuk link :-

http://masterzaki.blogspot.com/2021/01/suara-rakyat-iaitu-ahli-kwsp-yang-tidak.html

 

Sekian kenyataan saya.

 

Terima kasih.

MOHD ZAKI BIN AB LATIF

masterzaki@gmail.com

29.1.2021


















Wednesday, January 27, 2021

KENYATAAN MOHD ZAKI BIN AB LATIF BERKAITAN KES KWSP

 

KENYATAAN

MOHD ZAKI BIN AB LATIF

BERKAITAN KES KWSP

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,

Wassalatu Wassalamu ‘Ala Saidina Muhammadin Asrafi Mursalin,

Wa ‘Ala Alihi Wasahbihi Ajma’in.

 

Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

Kenyataan ini dibuat pada 28 Januari 2021 jam lebih kurang 10.00pagi.

1.                  Setelah melihat tiada emel jawapan secara rasmi daripada pihak KWSP kepada emel saya, maka saya meneruskan usaha menjelaskan isu berkaitan i-sinar KWSP ini kepada khalayak.

 

2.                  Umum mengetahui bahawa surat aduan dan persoalan saya kepada KWSP telah disiarkan pada 23 Januari 2021 di Ruangan Forum Rencana Surat Pembaca yang telah disiarkan dalam web Utusan Malaysia dan boleh dibaca dipautan : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/01/kenapa-wang-caruman-kwsp-kami-disekat/?fbclid=IwAR0wA95QAXedNCPcCDqjLM-xrdUvyBg0QaMncQcRqJwvcoqrfKr8TIcNSac

 

3.                  Ucapan terima kasih diucapkan kepada Wartawan Utusan Malaysia iaitu Saudara Nizam Yatim yang telah sudi memaparkan sebahagian aduan / surat saya kepada khalayak pembaca. Namun begitu, suka saya untuk berkongsi surat sepenuhnya yang telah saya karang dan tujukan kepada CEO KWSP iaitu Tunku Alizakri Alias serta salinannya telah dihantar kepada pemimpin-pemimpin Malaysia seperti berikut :-

 

(i)                 YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin

Perdana Menteri Malaysia

 

(ii)               YB Senator Dato' Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Menteri Kewangan,

 

(iii)             YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak

Mantan Perdana Menteri @ Mantan Presiden UMNO

 

(iv)             YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi

Presiden UMNO

 

(v)               Ybhg. Dato' Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato' Dusuki

 Ketua Pemuda UMNO

 

4.                  Salinan surat tersebut boleh dibaca di link tersebut : https://masterzaki.blogspot.com/

5.                  “Aku fikirkan mendung berterusan, tapi kini mentari muncul lagi”. Bak lirik lagu kumpulan Slam, akhirnya pada pagi hari Rabu 27 Januari 2021 jam lebih kurang 10.00pagi saya telah menerima panggilan telefon daripada seorang Pengurus KWSP Jalan Raja Laut.

 

6.                  Beliau menyatakan bahawa permohonan i-Sinar saya sedang dalam proses. Namun saya menjelaskan bahawa saya sepatutnya dimasukkan dalam kategori 1 kerana telah tidak bekerja dari 2019. Beliau menyatakan dalam rekod KWSP menunjukkan saya sebagai pejawat awam. Maka saya menjelaskan bahawa saya telah berhenti kerja dengan kerajaan mulai 2017. Telah lama. Kemudian saya pernah bekerja dengan pihak swasta pada tahun 2019 dan ada rekod caruman KWSP saya pada tahun 2019 tersebut. Jadi adalah tidak logik jika pihak KWSP menyatakan saya masih bekerja sebagai pejawat awam padahal rekod caruman KWSP tahun 2019 menunjukkan majikan saya adalah syarikat swasta. Namun Pengurus KWSP ini tidak dapat menjawab persoalan saya berkaitan ini. Hal ini bukan terjadi kepada saya seorang tetapi ramai lagi ahli KWSP yang mempunyai kisah yang sama seperti saya. Saya menjelaskan kepada Pengurus tersebut bahawa apa yang saya perjuangkan ini bukan mewakili diri saya seorang. Tetapi mewakili rakan-rakan lain dan ahli-ahli KWSP lain yang masih tidak berpuas hati dengan cara kelulusan i-Sinar KWSP.

 

7.                  Saya menyuruh Pengurus KWSP tersebut masuk ke Facebook dan join group perbincangan mengenai i-Sinar dalam page Facebook. Pasti beliau dapat melihat ramai rakyat jelata khususnya ahli KWSP yang mencarut dan memaki pengurusan KWSP. Maka saya menyarankan agar CEO KWSP membuat kenyataan media dengan segera bagi mengurangkan kemarahan rakyat jelata ini. Jika sistem KWSP yang canggih itu sendiri tidak boleh melihat saya sebagai bekas pejawat awam yang telah berhenti kerja dengan kerajaan dan kemudian makan gaji dengan sektor swasta, maka apa gunanya pegawai KWSP sebagai manusia yang seharusnya lebih bijak daripada mesin komputer tersebut. Ini merupakan kelemahan sistem KWSP. Kamu tidak dapat melihat pejawat awam yang telah berhenti kerja dan mencarum semula sebagai pekerja swasta. Kemudian kamu tolak permohonan i-Sinar yang saya mohon hanya kerana salah faham kamu sendiri. Sebagai seorang yang tiada pendapatan tetap saya dan rakan-rakan yang lain amat memerlukan wang daripada caruman KWSP kami sendiri untuk digunakan di waktu terdesak ketika ini.  

 

8.                  Setelah itu, Pengurus KWSP itu memaklumkan bahawa Wang Interim RM1,000 telah dimasukkan ke akaun simpanan saya mulai 26 Januari 2021. Saya katakan saya semak sebelum ini tiada duit masuk. Namun setelah tamat panggilan telefon tersebut saya menyemak akaun simpanan saya dan memang betul wang interim KWSP RM1,000 telah masuk ke akaun saya.

 

9.                  Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak KWSP yang bertindak pantas dengan membayar wang interim RM1,000 ini kepada ahli-ahli KWSP yang masih belum mendapat kelulusan i-Sinar. Namun tidak semua menerima wang interim RM1,000 ini. Sebagai contoh dalam senarai surat saya yang dipaparkan dalam https://masterzaki.blogspot.com/ hanya 3 orang daripada 6 orang tersebut yang menerima wang interim RM1,000. Namun 3 orang lagi belum menerima wang interim RM1,000 tersebut.

 

10.              Walau apapun yang dilakukan oleh pihak KWSP, saya masih belum berpuas hati kerana permohonan i-Sinar saya sepatutnya di bawah kategori 1. Namun tidak diluluskan oleh KWSP hanya kerana ketidakcerdikan pihak KWSP dalam melihat latar belakang pencarum tersebut. Telah berhenti sebagai pejawat awam dan bekerja di sektor swasta dan terdapat caruman pada tahun 2019. Namun masih dianggap sebagai pejawat awam. Kesalahan kamu, kesannya berat kepada kami sebagai ahli KWSP. Hal ini berlaku kepada ramai pemohon i-Sinar.

 

 

 

11.              Oleh yang demikian, saya memohon pihak KWSP menjawab surat saya telah dihantar kepada CEO KWSP dan sebahagiannya telah disiarkan dalam Utusan Melayu di link : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/01/kenapa-wang-caruman-kwsp-kami-disekat/?fbclid=IwAR0wA95QAXedNCPcCDqjLM-xrdUvyBg0QaMncQcRqJwvcoqrfKr8TIcNSac

 

12.              Seperti yang telah saya katakan kepada Pengurus KWSP yang menghubungi saya tadi, saya telah membuat surat aduan dan pertanyaan rasmi secara bertulis kepada KWSP, maka saya juga mengharap pihak KWSP menjawab secara bertulis kepada saya. Jika menghubungi saya dengan telefon, apa bukti yang dapat saya tunjukkan sebagai proses jawapan balas daripada pihak KWSP? Sehingga tarikh 28 Januari 2021 saya masih belum menerima apa-apa jawapan bertulis daripada pihak KWSP baik melalui emel atau surat rasmi.

 

13.              Diharapkan pembayaran interim RM1,000 yang telah dibuat kepada saya ini bukan lah penamat kepada perjuangan saya dan rakan-rakan yang memperjuangkan permohonan pengeluaran wang caruman KWSP yang menjadi hak kami. Kami akan terus berjuang sehingga hak kami berjaya dituntut.

 

14.              Akhir kata seperti yang saya nyatakan dalam surat kepada CEO KWSP, “Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa” dan “Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati”. Fahamilah maksud bidalan bahasa tersebut sedalam-dalamnya.

 

Sekian kenyataan daripada saya,

MOHD ZAKI BIN AB LATIF

masterzaki@gmail.com

28 Januari 2021.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SUARA RAKYAT IAITU AHLI KWSP YANG TIDAK DILULUSKAN PENGELUARAN i-SINAR

 

Mohd Zaki bin Ab Latif

xxxxxxxxx

43000 Kajang

SELANGOR DARUL EHSAN                                                                                               masterzaki@gmail.com

 

Kepada :-

 

Tunku Alizakri Alias

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)

Pejabat CEO

Bangunan KWSP

5, Jalan Raja Laut,

50350 KUALA LUMPUR                                                                                                                      8 Januari 2021

 

 

Tuan CEO KWSP,

 

SUARA RAKYAT IAITU AHLI KWSP YANG TIDAK DILULUSKAN PENGELUARAN i-SINAR

 

Dengan hormat perkara di atas dirujuk.

 

2.            Untuk makluman tuan, saya bernama MOHD ZAKI BIN AB LATIF no. ahli KWSP : xxxxxxx merupakan salah seorang antara jutaan ahli KWSP yang tidak diluluskan pengeluaran wang KWSP menerusi i-Sinar.

 

3.            Oleh yang demikian, saya bersama rakan-rakan seperti dalam JADUAL 1 - SENARAI NAMA AHLI KWSP YANG TELAH MEMOHON i-SINAR TAPI DITOLAK OLEH KWSP yang juga gagal mendapat kebenaran pengeluaran i-Sinar, di sini ingin menyampaikan hasrat suara kami rakyat Malaysia yang telah dinafikan hak untuk mengeluarkan wang kami daripada KWSP.

 

4.            Untuk makluman tuan, saya merupakan seorang ahli KWSP yang telah diluluskan pengeluaran wang KWSP menerusi i-Lestari tahun lepas. Tetapi ditolak permohonan di bawah i-Sinar dalam keputusan online KWSP pada 4 Januari 2021. Oleh yang demikian saya ingin menyuarakan masalah ini kepada pihak tuan untuk penjelasan lanjut.

 

SEJARAH i-SINAR

 

5.            Umum mengetahui bahawa idea permohonan pengeluaran wang KWSP ini adalah daripada mantan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Pekan iaitu YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak yang mana beliau telah berusaha membawa hal ini ke Parlimen dan akhirnya dipersetujui oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd Yassin dan disokong sepenuhnya oleh Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

6.            Apa yang diluluskan dalam Parlimen tempoh hari adalah pengeluaran i-Sinar KWSP dibenarkan sehingga RM10,000 untuk pengeluaran bulan pertama sehingga bulan ke-6 bagi mereka yang mempunyai wang melebihi RM100,000 dalam akaun KWSP mereka. Hal ini juga lanjutan daripada pelbagai perbincangan semua pihak khususnya antara ahli Parlimen Bagan Datuk YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi yang juga merupakan Presiden UMNO. Saya juga difahamkan had baki minima dalam akaun KWSP adalah RM100. Bermaksud sekiranya ahli mempunyai RM700 dalam akaun KWSP, beliau masih boleh mengeluarkan RM600 daripada akaun KWSP beliau sehingga tinggal baki RM100 dalam akaun tersebut.

 

7.            Saya melihat hal ini sebagai satu perjuangan oleh Parti UMNO dalam memperjuangkan suara rakyat yang dihimpit kesulitan ekonomi impak daripada COVID-19. Ia juga merupakan sahutan perjuangan yang sama yang dilaungkan oleh Parti BERSATU apabila Presiden BERSATU menyokong pengeluaran i-Sinar ini demi membantu rakyat jelata. Sejajar dengan sebuah hadis;

Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim)

 

8.            Namun sayangnya, hasrat kerajaan iaitu dari Parti BERSATU dan Parti UMNO ini tidak disampaikan kepada rakyat dengan sebaiknya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya oleh Pengurusan Kanan KWSP yang diterajui oleh Tuan CEO, Tunku Alizakri Alias.

 

HALANGAN YANG DICIPTA OLEH KWSP

BAGI MENYUSAHKAN AHLI MEMBUAT PENGELUARAN i-SINAR

 

9.            Pada awal pelancaran permohonan i-Sinar sahaja, pihak KWSP telah membuat halangan pertama dengan mewujudkan 2 kumpulan permohonan. Iaitu permohonan Kumpulan 1 dibuka pada hujung Disember 2020 dan permohonan Kumpulan 2 dibuka pada 11 Januari 2021. Ini adalah halangan pertama yang dicipta oleh Pengurusan Kanan KWSP bagi menyusahkan ramai Malaysia dan tidak menepati hasrat kerajaan serta perjuangan Parti UMNO dan Parti BERSATU.

 

10.          Padahal YB Parlimen Pekan yang juga Mantan Perdana Menteri YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak acap kali meluahkan hasrat dalam pelbagai media sosial dan media cetak bahawa tujuan pengeluaran KWSP ini adalah bagi membantu rakyat Malaysia yang juga ahli KWSP yang sedang dihimpit tekanan ekonomi pada masa kini.

 

11.          Sebagai contoh, saya yang telah berhenti kerja pada Ogos 2019. Sehingga kini masih belum mendapat apa-apa pekerjaan walaupun telah banyak kali menghadiri sesi temuduga. Hal ini dapat dilihat dalam penyata KWSP saya yang menunjukkan tiada caruman ahli KWSP semenjak Ogos 2019. Ini bermaksud saya tidak mempunyai mana-mana majikan yang menggaji saya. Itu menunjukkan saya tiada pendapatan bulanan yang tetap dan telah hilang pendapatan semenjak Ogos 2019. Adakah ini menyebabkan saya tidak layak mengeluarkan wang KWSP di bawah permohonan i-Sinar? Tetapi saya telah dibenarkan membuat pengeluaran di bawah i-Lestari. Apakah justifikasi KWSP berkaitan hal ini?

 

12.          Contoh kedua, seorang rakan saya iaitu seorang suri rumah, tidak bekerja lebih kurang 10 tahun lamanya. Membuat permohonan i-Sinar dan permohonan beliau diluluskan. Apakah perbezaan beliau yang telah tidak mencarum KWSP semenjak 10 tahun lepas kerana menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya juga tidak mencarum semenjak Ogos 2019 lepas kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap? Tetapi permohonan i-Sinar yang saya mohon tidak diluluskan? Apakah natijah yang ingin disampaikan oleh KWSP ini?

 

13.          Jika KWSP mengatakan hanya suri rumah sahaja yang layak memohon i-Sinar, maka bagaimana dengan rakan saya. Seorang wanita yang telah tamat kerja sejak Oktober 2019 akibat syarikat tidak mampu membayar gaji sepenuhnya malah gaji yang diterima dikurangkan lagi sebanyak 30% dari jumlah pendapatan. Sehingga hari ini rakan saya tidak mempunya sebarang pendapatan selain daripada pendapatan terakhirnya pada bulan Oktober 2019. Bahkan beliau kini merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Apakah justifikasi KWSP bagi menolak permohonan i-Sinar beliau?

 

14.          Seharusnya Tuan CEO KWSP bersama Pengurusan Kanan KWSP yang lain memudah cara permohonan i-Sinar ini bagi membantu seluruh ahli KWSP yang merupakan rakyat Malaysia yang terhimpit dengan kesempitan ekonomi zaman sekarang. Bukannya menambah halangan demi halangan bagi menyekat pengeluaran ahli KWSP. Siapa yang mencipta kumpulan 1 dan kumpulan 2 dalam pengeluaran i-Sinar? Bahkan parti UMNO sejak dari awal cadangan lagi telah menyarankan agar permohonan pengeluaran wang KWSP tidak disekat dengan pelbagai syarat yang mengarut.

 

 15.          KWSP telah menetapkan antara syarat-syarat pengeluaran i-Sinar adalah pengurangan gaji bulanan oleh sebab tiada kerja lebih masa atau pengurangan gaji pokok akibat Covid-19. Maka mereka dalam golongan ini boleh menunjukkan bukti penyata gaji yang menunjukkan perbezaan gaji semasa dengan gaji sebelum pengurangan tersebut. BAGAIMANA PULA DENGAN KAMI YANG TELAH TIADA GAJI TETAP SEBAB TIADA PEKERJAAN SELAMA BERTAHUN-TAHUN INI? Apakah kami didiskriminasikan atas sebab tiada pengurangan gaji? Hanya kerana kami tiada gaji langsung, tiada pendapatan tetap langsung, maka kami tidak layak memohon pengeluaran i-Sinar? Tetapi suri rumah yang telah berhenti kerja bertahun-tahun lamanya, layak pula mendapat i-Sinar? Apakah sebabnya?

 

16.          Saya dan beberapa orang dalam senarai surat ini tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) baik BPN 1.0, BPN 2.0 waima BPN Kosong-Kosong pun. Kami bersabar dan terus tabah mengharungi hidup tanpa bantuan kerajaan. Sehingga kerajaan memberi Bonus Pejawat Awam 2021 pun kami tidak layak terima kerana antara kami bukanlah golongan pejawat awam. Kami terus bersabar dan tabah. Tetapi apabila kerajaan meluluskan pengeluaran i-Sinar KWSP, kami berasa sedikit lega kerana kami sebagai ahli KWSP mempunyai simpanan dalam KWSP kerana pernah mencarum suatu waktu dahulu. Ketika inilah wang tersebut amat diperlukan di waktu perit sebegini. Kemudiannya, Pengurusan Kanan KWSP menetapkan pelbagai syarat dan memecahkan kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan 1 dan Kumpulan 2. Padahal wang kami tetap sama dalam akaun KWSP. Wang yang kami simpan tidak pula dicop sebagai Wang Kumpulan 1 dan Wang Kumpulan 2. Tetap sama ada wajah Agong Pertama yang mempunyai nilai sah di sisi undang-undang dan Bank Negara Malaysia. Tetapi untuk pengeluaran i-Sinar pelbagai syarat pula dikenakan terhadap kami.

 

17.          Wang dalam KWSP adalah hak kami. Kami berhak terhadap wang kami. Kenapakah kami disekat dengan pelbagai syarat? Sudah lah kami tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional. Tidak layak mendapat Bonus Pejawat Awam. Tiada bonus tahunan majikan swasta. Bahkan untuk pengeluaran i-Sinar KWSP wang kami sendiri pula disekat. Adakah pihak KWSP melihat tekanan yang kami hadapi ini? Fahamkah tuan sebagai CEO KWSP? Dapatkah tuan meletakkan diri tuan dalam situasi yang kami hadapi sekarang ini?

 

LIHAT TAKWIM SEKOLAH, LIHAT BPN, LIHAT BONUS PEJAWAT AWAM

DAN LIHAT i-SINAR KWSP

 

18.          Adakah tuan CEO KWSP melihat takwim sekolah 2021? Adakah tuan tahu bahawa permulaan sekolah akan bermula pada 20 Januari 2021. Bagi yang mendapat BPN maka mereka boleh bersyukur dengan kurniaan wang kerajaan tersebut. Begitu juga dengan Bonus Pejawat Awam yang akan dibayar mulai 25 Januari 2021. Masih mereka boleh bersyukur dengan kurniaan kerajaan itu. Tetapi bagi kami yang ditolak permohonan i-Sinar pada 4 Januari 2021 yang lepas, apakah nasib kami? Menunggu permohonan dan rayuan baru pada 11 Januari 2021? Kemudian jika menerima keputusan gagal yang sama? Apakah nasib kami? Sedangkan wang yang ingin kami mohon keluarkan itu adalah wang caruman KWSP kami. Apakah semua pihak memahami nasib kami ini? Tahukah anda tentang tekanan hidup yang kami hadapi sekarang ini?

 

19.          Saya gambarkan satu situasi sebegini. Seorang ayah yang mempunyai 3 orang anak. Ayah ini sudah tidak mempunyai pendapatan tetap sejak beberapa tahun lepas. Tiada caruman KWSP sejak beberapa tahun lepas kerana hanya bekerja sendiri. Namun beliau pernah bekerja suatu ketika dulu dan pernah mencarum dengan KWSP dahulu. Si isteri pula seorang suri rumah tangga yang yang sememangnya tidak mempunyai caruman KWSP. Mereka suami isteri juga telah tertinggal dari senarai Bantuan Prihatin Nasional kosong-kosong. Mereka juga bukan pejawat awam dan tidak layak menerima Bonus Pejawat Awam. Tetapi si suami ini pernah bekerja dan mempunyai caruman KWSP di masa lampau dengan majikannya. Maka si suami memohon i-Sinar. Tetapi keputusan diperolehi menyatakan beliau tidak layak dan perlu menunggu 11 Januari 2021 untuk membuat rayuan bersama dokumen sokongan. Tetapi si suami tiada payslip atau apa jua dokumen sokongan yang akan dibuktikan kepada KWSP 11 Januari nanti. Akhirnya beliau tidak layak membuat pengeluaran i-Sinar. Anak-anak pula akan mula bersekolah pada 20 Januari 2021. Maka apakah nasib mereka sekeluarga ini? Atas sebab sekatan hebat yang dibuat oleh tuan CEO KWSP dan Pengurusan Kanan KWSP? Adakah kamu semua faham tentang situasi ini?

 

RAYUAN KEPADA PEMIMPIN POLITIK DAN KEPADA PEMIMPIN KWSP


20.          Kepada YAB Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd Yassin dan Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz lihatlah kemusnahan yang dilakukan oleh Pengurusan Kanan KWSP terhadap rakyat Malaysia yang hidup susah kini. Hasrat kerajaan untuk membantu rakyat seperti kami tidak kesampaian akibat kuasa yang diberikan kepada pihak yang tidak perihatin kepada rakyat.

 

21.          Kepada mantan Perdana Menteri YB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak dan ahli Parlimen Bagan Datuk YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi yang juga Presiden UMNO , saya mengucapkan terima kasih di atas perjuangan parti UMNO bagi memperjuangkan nasib rakyat. Namun perjuangan anda telah digagalkan oleh sekelompok golongan yang berkuasa dalam KWSP dengan menetapkan pelbagai syarat terhadap pengeluaran i-Sinar. Moga tuan-tuan pejuang nasib rakyat yang dibantu bersama panglima perang iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk terus perjuangkan hak ahli KWSP. Supaya dapat ahli KWSP memohon pengeluaran wang KWSP tanpa apa-apa syarat.

 

22.          Akhir kata, saya memohon kepada YAB Perdana Menteri supaya membubarkan Pengurusan Kanan KWSP dan menukarkan dengan orang lain yang lebih perihatin dengan nasib rakyat seperti kami ini. Bak kata bidalan, “Belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang pandai”.

 

23.          Kepada CEO KWSP dan Pengurusan Kanan KWSP, hayatilah bidalan bahasa ini, “Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa” dan “Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati”. Fahamilah maksud kata-kata bidalan itu hingga akhir hayat tuan.

 

24.          Di akhiri surat ini, saya memohon semua pihak melihat :-

                Daripada siapa surat ini ditulis = MELAYU

                Kepada siapa surat ini ditulis = MELAYU

                Salinan kepada siapa surat ini ditulis = MELAYU

                Siapa yang berkuasa dalam isu ini = MELAYU

                Siapa yang rugi akibat isu ini = ??? ANDA PASTI TAHU JAWAPANNYA.


25.          Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah sudi membaca surat saya ini. Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan saya di alamat di atas atau emel saya masterzaki@gmail.com.

 

 Sekian, terima kasih.

 

 Yang benar,

 MOHD ZAKI BIN AB LATIF